about us
products
investor relations
corporate library
careers
contact
home
logo (loading...)
news coverage

LIMAHSOON jangka peroleh RM24.72 juta hasil IPO
Berita Harian, 27 May 2004

LIMAHSOON Bhd (LIMAHSOON) pengeluar papan lamina yang akan disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia bakal memperoleh RM24.72 juta daripada cadangan tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Urusan LIMAHSOON, Lim Chong Khim, berkata dana daripada IPO itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal dan penyenaraian serta membayar semula hutang dan overdraf.

"Sempena penyenaraian di Bursa Malaysia, LIMAHSOON membuat terbitan awam 16.4 juta saham biasa baru bernilai 50 sen sesaham pada harga terbitan RM1.08.

"Selepas penyenaraian, modal terbitan dan berbayar LIMAHSOON akan meningkat daripada RM32 juta kepada RM40.2 juta yang diwakili 80.4 juta saham biasa bernilai 50 sen sesaham," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian taja jamin antara LIMAHSOON dan Aseambankers Malaysia Bhd (Aseambankers), di Menara Maybank, Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, LIMAHSOON diwakili Lim manakala Aseambankers diwakili Ketua Eksekutifnya, Agil Natt. Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif LIMAHSOON, Lim Chong Leng.

Lim berkata, LIMAHSOON kini berada pada kedudukan terbaik untuk mengembangkan asas pelanggan selepas meningkatkan keupayaan pengeluaran daripada 18,000 kepada 28,000 meter padu.

LIMAHSOON yang menghasilkan papan lamina daripada kayu oak dan komponen perabot sudah melabur RM30 juta bagi mengembangkan operasinya dan kini mempunyai lebih 50 pelanggan di Malaysia.

Syarikat itu juga mengeksport papan lamina ke Jepun, Jerman, India dan Korea yang mewakili 2.64 peratus daripada keseluruhan perolehan syarikat itu.

LIMAHSOON mencatat keuntungan sebelum cukai RM8.1 juta hasil perolehan RM44.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2003. Perolehan sesaham LIMAHSOON ialah 13.55 sen sesaham.

Lim berkata, LIMAHSOON yang kini menguasai lapan peratus daripada industri papan lamina negara yakin mampu mengekalkan penguasaannya sebagai peneraju pasaran itu pada masa depan.

"Dengan prospek ekonomi yang memberangsangkan dan cadangan pengembangan, kami yakin kekal sebagai peneraju pasaran dalam industri papan lamina tempatan," katanya.

  LIM (kiri) bersalam dan bertukar dokumen dengan Agil (kanan) sambil diperhatikan Lim Chong Leng di Kuala Lumpur.
- Gambar oleh Nik Hariff Hassan

Link captured from: www.bharian.com.my

back

more info