LIMAHSOON catat lebihan langganan 18.41
kali
Berita Harian, 14 July
2004

MOHD SHUIB (kanan) memberi penerangan kepada Lim (tengah)
kaedah undian saham secara elektronik di bangunan MIOFCCS
di Kuala Lumpur semalam.
LIMAHSOON Bhd (LIMAHSOON) yang akan disenaraikan
di Papan Kedua Bursa Malaysia 22 Julai ini mencatatkan lebihan
langganan 18.41 kali bagi 16.4 juta sahamnya yang ditawarkan
kepada pelabur awam.
Pengurus Besar MIDF Consultancy and Corporate Services Sdn
Bhd (MIDFCCS), Mohamad Shuib Abd Ghani, berkata LIMAHSOON
yang terbabit dalam pengilangan papan berlamina menerima
26,151 permohonan bagi mendapatkan 116.486 juta saham bernilai
RM125.805 juta.
Beliau berkata, bagi kategori Bumiputera pula, syarikat
itu menerima 10,634 permohonan bagi mendapatkan 31.017 juta
saham, iaitu kadar lebihan langganan 16.23 kali.
"Keputusan permohonan saham LIMAHSOON boleh diketahui
mulai 21 Julai ini sama ada menerusi laman web www.midfccs.com
atau surat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis cabutan
undi saham LIMAHSOON di Kuala Lumpur, semalam.
Sempena penyenaraiannya, LIMAHSOON menawarkan 16.4 juta
saham biasa baru 50 sen sesaham pada harga tawaran RM1.08
sesaham.
Daripada jumlah itu, 2.002 juta sahamnya diperuntukkan kepada
kakitangan, pengarah, pembekal dan pelanggannya yang layak
manakala enam juta saham lagi untuk langganan awam dengan
30 peratus daripadanya diperuntukkan kepada Bumiputera.
Sementara itu, Pengarah Urusan LIMAHSOON, Lim Chong Khim,
berkata lebihan langganan itu mencerminkan keyakinan pelabur
terhadap prospek masa depan perniagaan syarikat.
"Ia juga membuktikan bahawa pelabur yakin terhadap
keupayaan syarikat untuk terus menjadi peneraju dalam industri
papan berlamina," katanya.
Mengenai rancangan pengembangan syarikat, Lim berkata, LIMAHSOON
akan meneroka pasaran baru di Asia terutama di Asia Barat
bagi meningkatkan peratusan pasaran eksportnya daripada
tiga peratus sekarang.
Ketika ini, pasaran eksport utama LIMAHSOON ialah Jerman,
Jepun, India dan Korea Selatan.
Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata, syarikat akan
meningkatkan kapasiti pengeluarannya.
"Kapasiti pengeluaran syarikat ketika ini hanya sekitar
70 peratus. Ini bermakna masih banyak ruang untuk kami meningkatkan
tahap pengeluaran," katanya.
Lim berkata, bagi memaksimumkan potensi pendapatannya, syarikat
bercadang menubuhkan kemudahan bagi pengeluaran serpihan
kayu yang akan dibekalkan kepada pengeluar papan gentian
ketumpatan sederhana (MDF).
"Pengeluaran serpihan kayu itu akan dimulakan tahun
depan," katanya.
Beliau berkata, syarikat akan melabur antara RM500,000 hingga
RM1 juta untuk membeli mesin bagi pengeluaran serpihan kayu
itu yang dijadualkan tiba seawal suku ketiga tahun ini.
Link captured from: www.bharian.com.my
back