LIMAHSOON hasilkan papan gentian tahun
ini
Berita Harian, 2 July
2004
LIMAHSOON Bhd (LIMAHSOON), pengilang papan
berlamina yang akan disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia
22 Julai ini, bercadang memulakan operasi pengeluaran papan
gentian ketumpatan sederhana (MDF) pada suku keempat tahun
ini.
Pengarah Urusannya, Lim Chong Khim, berkata ia adalah sebahagian
daripada proses pengembangan syarikat bertujuan memaksimumkan
keupayaan sebenarnya dengan mengkomersialkan bahan buangan
industri seperti seperti kulit kayu, kayu rosak dan hampas
kayu yang sebelum ini dijual pada harga rendah bagi dijadikan
kayu api.
"Kami akan melabur antara RM500,000 hingga RM1 juta
untuk membeli mesin baru yang dijadualkan tiba seawal suku
ketiga tahun ini.
"Rundingan juga sedang dijalankan dengan sebuah syarikat
pengeluar perabot tempatan bertujuan menjadikan LIMAHSOON
pembekal utama papan MDF kepada mereka.
"Ia akan menjadi penyumbang tambahan kepada operasi
utama kami iaitu memproses papan berlamina daripada kayu
getah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan media ke kilang syarikat
itu di Beranang, Selangor semalam.
Lim berkata, mesin MDH yang akan ditempatkan di kilang sedia
ada berupaya menghasilkan 120 tan papan MDF sehari.
Papan MDF digunakan untuk menghasilkan perabot ringan seperti
meja kopi, almari dan rak buku.
LIMAHSOON mengunjurkan perolehan RM47.3 juta dan keuntungan
sebelum cukai RM10.7 juta dalam tahun kewangan berakhir
31 Disember 2004.
Lim berkata, peningkatan keuntungan 32 peratus berbanding
RM8.1 juta yang dicatatkan tahun lalu itu mampu dicapai
berdasarkan perkembangan pesat industri perabot tempatan
dan peningkatan permintaan luar negara bagi papan berlamina
keluaran tempatan.
Sempena penyenaraiannya, LIMAHSOON membuat terbitan awam
16.4 juta saham biasa baru bernilai 50 sen sesaham pada
harga tawaran RM1.08 seunit.
Selepas penyenaraian, modal terbitan dan berbayar LIMAHSOON
akan meningkat kepada RM40.2 juta daripada RM32 juta.
Lim berkata, penyenaraian itu membolehkan LIMAHSOON meningkatkan
kedudukannya dalam industri pengeluaran papan berlamina
yang ketika ini berkembang pada kadar 1.7 peratus setahun.
"LIMAHSOON ketika ini menguasai lapan peratus daripada
pasaran papan berlamina di Malaysia dan tumpuan kepada penyelidikan
dan pembanguan (R&D) diharap dapat meningkatkan penguasaan
pasaran syarikat." katanya.
LIMAHSOON ketika ini adalah peneraju dalam pengeluaran papan
berlamina yang digunakan untuk penghasilan perabot.
Ia menghasilkan kira-kira 2,000 metrik padu papan berlamina
sehari.
Ketika ini kira-kira 97 peratus daripada produk keluarannya
dipasarkan di pasaran tempatan, manakala selebihnya di eksport
kepada pengeluar perabot di Jepun, Jerman, India dan Korea
Selatan.
back